Peranan pihak polis terhadap sekolah
![]() |
Kerjasama antara KPM dan PDRM |
Sejak tahun 1974 lagi, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) telah mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi
membendung kejadian jenayah dan salah laku disiplin dalam kalangan murid-murid
sekolah. Arahan pentadbiran berkaitan tugas ini terkandung dalam Arahan
Pentadbiran Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
Bilangan 1/2015: Pelaksanaan Penugasan Pegawai Perhubungan Sekolah bertarikh 10
April 2015 serta arahan-arahan pentadbiran terkini dari semasa ke semasa.
Kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) melalui usaha-usaha yang berterusan dengan mengikut prosedur
yang lebih sistematik dapat membantu pihak sekolah untuk mengekang penglibatan
murid-murid dalam kejadian jenayah serta perlakuan yang menyalahi
undang-undang. Langkah proaktif ini bertujuan bagi menampilkan perwatakan yang
baik dan terpuji dalam melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi emosi,
jasmani, rohani dan intelek seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Dalam konteks ini, pelbagai usaha
secara bersepadu perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk pihak polis,
ibu bapa dan komuniti dalam menangani masalah disiplin dan salah laku murid.
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian juga harus melaksanakan perubahan menyeluruh
untuk pembangunan modal insan yang holistik. PPS hanya bertindak sebagai
jambatan antara PDRM dengan pihak sekolah. Hal ini kerana, PPS membantu
murid-murid untuk menjadi seorang yang lebih prihatin, menanam kesedaran,
membina kesusilaan dan penghormatan terhadap undang-undang selain meberi
kefahaman kepada murid-murid mengenai tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
Malah, PPS juga membantu KPM dengan mewujudkan sifar jenayah di sekolah-sekolah.
Sekolah sebagai institusi pendidikan berperanan melahirkan modal insan
cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid yang
sedang meningkat dewasa amatlah mudah terpengaruh dan terlibat dalam salah laku
disiplin. Sehubungan dengan itu, kewujudan PPS ini sangat relevan dengan konsep
penyayang yang diamalkan oleh KPM dan PDRM dalam usaha membantu mencegah salah
laku disiplin dalam kalangan murid. Langkah ini juga diharapkan dapat
menjamin keberkesanan komunikasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia,
Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah dengan Polis Diraja Malaysia di
samping membentuk kemenjadian murid secara holistik bagi melahirkan insan yang
cemerlang pada masa hadapan.
Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS)
Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada Pegawai Kanan Polis bagi sekolah menengah dan Pegawai Rendah Polis bagi sekolah rendah. Ketua Polis Negeri dipertanggungjawabkan untuk melantik Pegawai Perhubungan Sekolah di daerah masing-masing.
Sasaran
PPS dilantik pada semua peringkat sekolah menengah dan
rendah, kerajaan dan swasta (sekiranya diperlukan) di seluruh negara. PPS perlu
sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam semua aktiviti
yang dijalankan di sekolah.
Mengenal pasti kerjasama antara pihak sekolah dan polis
1) Membantu dalam mewujudkan sifar jenayah di sekolah
- Mengadakan lawatan ke sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sekali
Kunjungan daripada Pegawai Perhubungan Sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sekali adalah bertujuan supaya pps dapat memberi nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan sekolah.
- Menganjurkan Program Jom Ke Sekolah
Program ini adalah kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini akan menempatkan beberapa orang anggota polis di sekolah bagi tujuan mendidik murid-murid mengenai pematuhan undang-undang dalam memastikan mereka tidak terlibat dengan kegiatan yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka seperti ponteng atau terlibat dalam kegiatan jenayah yang tidak bermoral.
- Hadir semasa ujian saringan urin (urine test) yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
Ujian saringan ini dilakukan secara rawak oleh pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekolah-sekolah terutamanya sekolah yang disyaki oleh pihak berkuasa dalam penglibatan dengan gejala dadah. Bagi membasmi penyalahgunaan dadah ini, pelajar yang didapati positif dadah akan dihantar untuk menyertai program selama tiga bulan bersama AADK. Selepas itu, pemeriksaan susulan akan dilakukan dan jika masih positif dadah, individu terbabit akan berada di bawah jagaan AADK bagi mengikuti program pemuliharaan yang lebih panjang.
- Melaksanakan Ops Didik
Ops Didik merupakan pelaksanaan yang bertujuan untuk mendidik
para pelajar dan ibu bapa untuk memberi keutamaan terhadap peraturan jalan raya
khususnya kepada mereka yang menunggang motosikal ke sekolah. Dalam
pelaksanaan Ops Didik, pihak polis menitik beratkan kesalahan trafik
termasuklah tidak memakai topi keledar, tidak memiliki lesen memandu, kenderaan
tidak mempunyai perlindungan insurans, menanggalkan cermin pandang belakang,
melakukan modifikasi tidak dibenarkan serta penggunaan nombor plat yang salah.
2) Menjadi rujukan dan panduan kepada pihak sekolah berkaitan kes salah laku jenayah
- Memainkan peranan dalam Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dan Kor Kadet Polis dalam menjalankan segala aktiviti yang dirancang
Kerjasama pihak polis dalam menyertai kelab-kelab ini di
sekolah dapat memberikan kesedaran kepada para pelajar mengenai bagaimana
hendak menjadi warganegara yang baik dalam mematuhi undang-undang serta dalam
masa yang sama mereka juga dapat mempelajari tentang aspek kepolisan.
- Mengambil bahagian dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG)
Di dalam mesyuarat PIBG, pegawai yang ditugaskan dapat
mencadangkan program atau polisi sekolah selamat serta membincangkan
pelbagai format untuk menangani masalah disiplin. Penyusunan langkah yang
kreatif dan inovatif serta mereka bentuk pengisian aktiviti yang lebih
terangkum juga boleh dilakukan bagi mendorong dan merangsang masyarakat sekolah
untuk turut sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam mencegah salah laku
disiplin murid.
3) Memberi kefahaman tentang tanggungjawab murid-murid dalam menjaga harta benda sendiri dan awam
- Menanam sikap prihatin dalam diri murid
- Membina kesedaran untuk menghargai harta benda
- Menerapkan konsep kesopanan dan kesusilaan
- Etika individu terhadap undang-undang
Keempat-empat tanggungjawab ini perlu diterapkan dalam diri pelajar sejak daripada bangku sekolah lagi kerana ia adalah simbol ketaatan terhadap rukun negara. Oleh itu, pihak polis memainkan peranan dengan bekerjasama dengan masyarakat sekolah bagi membantu para pelajar untuk menyayangi dan menghargai harta benda awam dan harta benda sendiri.
4) Mencegah murid-murid daripada terlibat dengan kegiatan jenayah
- Mengadakan pemeriksaan berkala mengikut keperluan bersama-sama pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin murid
Pegawai perhubungan sekolah akan memantau keperluan keselamatan di sekolah untuk mengenalpasti masalah serta membantu dalam pengurusan sebelum dan selepas sesuatu krisis berlaku. Oleh hal yang demikian, suasana sekolah selamat dapat diwujudkan.
- Memberikan ceramah pendedahan kesedaran undang - undang
Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang terdapat di dalam rukun negara kita perlu difahamkan oleh pihak polis kepada masyarakat sekolah iaitu merangkumi guru, para pelajar dan ibu bapa. Antara tajuk ceramahnya ialah kepentingan mengurangkan tingkah laku ganas atau keberkesanan pembimbing rakan sebaya terhadap pematuhan pelajar akan undang-undang.
- Menubuhkan jawatankuasa khas jenayah siber di sekolah
Dalam menyemai kesedaran terhadap etika penggunaan media
sosial, pegawai polis memainkan peranan dalam memberikan kesedaran di sekolah
dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas jenayah siber bertujuan untuk mengkaji
dan melaksanakan pelbagai program bagi mendidik para pelajar tentang kesan
jenayah siber.

Kesimpulan
Sekolah dan persekitaran sangat berkait rapat dan penting
dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Hubungan pihak sekolah
dengan masyarakat sekeliling seperti pihak polis adalah satu platform terbaik bagi
mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu bagi melahirkan pelajar
yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Program Jom Ke
Sekolah Erat Kerjasama PDRM-KPM Lahir Murid Holistik. Diperoleh daripada https://www.moe.gov.my/en/menumedia/electronic-media/news-and-activities/program-jom-ke-sekolah-erat-kerjasama-pdrm-kpm-lahir-murid-holistik
Kementerian Pendidikan Malaysia. Buku Panduan Pegawai
Perhubungan Sekolah (PSS) Permuafakatan KPM Dan PDRM. Kuala Lumpur. NUTP
Malaysia. Diperoleh daripada https://anyflip.com/uing/cqiz/basic
Farahah Rosni, Wan Shahrazad Wan Sulaiman and Mohammad Rahim
Kamaluddin. 2019. Ketakutan terhadap jenayah dalam kalangan pelajar universiti
di Malaysia: Analisis terhadap faktor penyumbang. Kajian Malaysia 37(2):
147–171. https://doi.org/10.21315/km2019.37.2.7
Sidik, I. F., Awang, M. M., &
Ahmad, A. R. (2020). Keterlibatan pelajar dan hubungannya dengan kemahiran
insaniah. Malaysian Journal of Education (0126-6020), 45, 68–74.
https://doi.org/10.17576/JPEN-2020-45.01SI-09