Wednesday, June 2, 2021

SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

 Peranan pihak polis terhadap sekolah

Kerjasama antara KPM dan PDRM

Sejak tahun 1974 lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi membendung kejadian jenayah dan salah laku disiplin dalam kalangan murid-murid sekolah. Arahan pentadbiran berkaitan tugas ini terkandung dalam Arahan Pentadbiran Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bilangan 1/2015: Pelaksanaan Penugasan Pegawai Perhubungan Sekolah bertarikh 10 April 2015 serta arahan-arahan pentadbiran terkini dari semasa ke semasa. Kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui usaha-usaha yang berterusan dengan mengikut prosedur yang lebih sistematik dapat membantu pihak sekolah untuk mengekang penglibatan murid-murid dalam kejadian jenayah serta perlakuan yang menyalahi undang-undang. Langkah proaktif ini bertujuan bagi menampilkan perwatakan yang baik dan terpuji dalam melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi emosi, jasmani, rohani dan intelek seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam konteks ini, pelbagai usaha secara bersepadu perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk pihak polis, ibu bapa dan komuniti dalam menangani masalah disiplin dan salah laku murid. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian juga harus melaksanakan perubahan menyeluruh untuk pembangunan modal insan yang holistik. PPS hanya bertindak sebagai jambatan antara PDRM dengan pihak sekolah. Hal ini kerana, PPS membantu murid-murid untuk menjadi seorang yang lebih prihatin, menanam kesedaran, membina kesusilaan dan penghormatan terhadap undang-undang selain  meberi kefahaman kepada murid-murid mengenai tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Malah, PPS juga membantu KPM dengan mewujudkan sifar jenayah di sekolah-sekolah. Sekolah sebagai institusi pendidikan berperanan melahirkan modal insan cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid yang sedang meningkat dewasa amatlah mudah terpengaruh dan terlibat dalam salah laku disiplin. Sehubungan dengan itu, kewujudan PPS ini sangat relevan dengan konsep penyayang yang diamalkan oleh KPM dan PDRM dalam usaha membantu mencegah salah laku disiplin dalam kalangan murid. Langkah ini juga diharapkan dapat menjamin keberkesanan komunikasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah dengan Polis Diraja Malaysia di samping membentuk kemenjadian murid secara holistik bagi melahirkan insan yang cemerlang pada masa hadapan. 


Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS)

Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada Pegawai Kanan Polis bagi sekolah menengah dan Pegawai Rendah Polis bagi sekolah rendah. Ketua Polis Negeri dipertanggungjawabkan untuk melantik Pegawai Perhubungan Sekolah di daerah masing-masing.


Sasaran

PPS dilantik pada semua peringkat sekolah menengah dan rendah, kerajaan dan swasta (sekiranya diperlukan) di seluruh negara. PPS perlu sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam semua aktiviti yang dijalankan di sekolah.

 

Mengenal pasti kerjasama antara pihak sekolah dan polis


1) Membantu dalam mewujudkan sifar jenayah di sekolah

  • Mengadakan lawatan ke sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sekali

Kunjungan daripada Pegawai Perhubungan Sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sekali adalah    bertujuan supaya pps dapat memberi nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan    sekolah.

  • Menganjurkan Program Jom Ke Sekolah

Program ini adalah kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini akan menempatkan beberapa orang anggota polis di sekolah bagi tujuan mendidik murid-murid mengenai pematuhan undang-undang dalam memastikan mereka tidak terlibat dengan kegiatan yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka seperti ponteng atau terlibat dalam kegiatan jenayah yang tidak bermoral.

  • Hadir semasa ujian saringan urin (urine test) yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

Ujian saringan ini dilakukan secara rawak oleh pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekolah-sekolah terutamanya sekolah yang disyaki oleh pihak berkuasa dalam penglibatan dengan gejala dadah. Bagi membasmi penyalahgunaan dadah ini, pelajar yang didapati positif dadah akan dihantar untuk menyertai program selama tiga bulan bersama AADK. Selepas itu, pemeriksaan susulan akan dilakukan dan jika masih positif dadah, individu terbabit akan berada di bawah jagaan AADK bagi mengikuti program pemuliharaan yang lebih panjang.

  • Melaksanakan Ops Didik

Ops Didik merupakan pelaksanaan yang bertujuan untuk mendidik para pelajar dan ibu bapa untuk memberi keutamaan terhadap peraturan jalan raya khususnya kepada mereka yang menunggang motosikal ke sekolah. Dalam pelaksanaan Ops Didik, pihak polis menitik beratkan kesalahan trafik termasuklah tidak memakai topi keledar, tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans, menanggalkan cermin pandang belakang, melakukan modifikasi tidak dibenarkan serta penggunaan nombor plat yang salah.



2) Menjadi rujukan dan panduan kepada pihak sekolah berkaitan kes salah laku jenayah

  • Memainkan peranan dalam Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dan Kor Kadet Polis dalam menjalankan segala aktiviti yang dirancang

Kerjasama pihak polis dalam menyertai kelab-kelab ini di sekolah dapat memberikan kesedaran kepada para pelajar mengenai bagaimana hendak menjadi warganegara yang baik dalam mematuhi undang-undang serta dalam masa yang sama mereka juga dapat mempelajari tentang aspek kepolisan.

  • Mengambil bahagian dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG)

Di dalam mesyuarat PIBG, pegawai yang ditugaskan dapat mencadangkan program atau polisi sekolah selamat serta membincangkan pelbagai format untuk menangani masalah disiplin. Penyusunan langkah yang kreatif dan inovatif serta mereka bentuk pengisian aktiviti yang lebih terangkum juga boleh dilakukan bagi mendorong dan merangsang masyarakat sekolah untuk turut sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam mencegah salah laku disiplin murid.

 


3) Memberi kefahaman tentang tanggungjawab murid-murid dalam menjaga harta benda sendiri dan awam 

  • Menanam sikap prihatin dalam diri murid
  • Membina kesedaran untuk menghargai harta benda
  • Menerapkan konsep kesopanan dan kesusilaan
  • Etika individu terhadap undang-undang

Keempat-empat tanggungjawab ini perlu diterapkan dalam diri pelajar sejak daripada bangku sekolah lagi kerana ia adalah simbol ketaatan terhadap rukun negara. Oleh itu, pihak polis memainkan peranan dengan bekerjasama dengan masyarakat sekolah bagi membantu para pelajar untuk menyayangi dan menghargai harta benda awam dan harta benda sendiri.



4) Mencegah murid-murid daripada terlibat dengan kegiatan jenayah

  • Mengadakan pemeriksaan berkala mengikut keperluan bersama-sama pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin murid

Pegawai perhubungan sekolah akan memantau keperluan keselamatan di sekolah untuk mengenalpasti masalah serta membantu dalam pengurusan sebelum dan selepas sesuatu krisis berlaku. Oleh hal yang demikian, suasana sekolah selamat dapat diwujudkan.

  • Memberikan ceramah pendedahan kesedaran undang - undang

Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang terdapat di dalam rukun negara kita perlu difahamkan oleh pihak polis kepada masyarakat sekolah iaitu merangkumi guru, para pelajar dan ibu bapa. Antara tajuk ceramahnya ialah kepentingan mengurangkan tingkah laku ganas atau keberkesanan pembimbing rakan sebaya terhadap pematuhan pelajar akan undang-undang.

  • Menubuhkan jawatankuasa khas jenayah siber di sekolah

Dalam menyemai kesedaran terhadap etika penggunaan media sosial, pegawai polis memainkan peranan dalam memberikan kesedaran di sekolah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas jenayah siber bertujuan untuk mengkaji dan melaksanakan pelbagai program bagi mendidik para pelajar tentang kesan jenayah siber.



Kesimpulan

Sekolah dan persekitaran sangat berkait rapat dan penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Hubungan pihak sekolah dengan masyarakat sekeliling seperti pihak polis adalah satu platform terbaik bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu bagi melahirkan pelajar yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.


Rujukan

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Program Jom Ke Sekolah Erat Kerjasama PDRM-KPM Lahir Murid Holistik. Diperoleh daripada https://www.moe.gov.my/en/menumedia/electronic-media/news-and-activities/program-jom-ke-sekolah-erat-kerjasama-pdrm-kpm-lahir-murid-holistik

Kementerian Pendidikan Malaysia. Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PSS) Permuafakatan KPM Dan PDRM. Kuala Lumpur. NUTP Malaysia. Diperoleh daripada https://anyflip.com/uing/cqiz/basic

Farahah Rosni, Wan Shahrazad Wan Sulaiman and Mohammad Rahim Kamaluddin. 2019. Ketakutan terhadap jenayah dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia: Analisis terhadap faktor penyumbang. Kajian Malaysia 37(2): 147–171. https://doi.org/10.21315/km2019.37.2.7

Sidik, I. F., Awang, M. M., & Ahmad, A. R. (2020). Keterlibatan pelajar dan hubungannya dengan kemahiran insaniah. Malaysian Journal of Education (0126-6020), 45, 68–74. https://doi.org/10.17576/JPEN-2020-45.01SI-09

 


No comments:

Post a Comment

SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

  Peranan pihak polis terhadap sekolah Kerjasama antara KPM dan PDRM Sejak tahun 1974 lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan Pe...